Neststay · Info untuk pemilik

Lepas dapat kunci, macam mana nak mula sewakan?

Catat defect dan peraturan akses bangunan dulu. Kemudian tetapkan cara sewa, skop perabot dan sasaran mula operasi supaya kurang kerja berulang.

Kongsi maklumat asas dulu pun boleh. Belum ada pelan lantai atau belum pilih cara sewa? Tak apa, boleh mula tanya dulu.

Panduan untuk pemilik

Semak satu per satu

Ambil perkara yang berkaitan dengan unit anda. Setiap project dan aturan sewaan boleh berbeza.

01

Rekod keadaan unit dan defect dahulu

Periksa setiap ruang selepas dapat kunci. Ambil gambar defect, catat lokasi, tarikh dan status susulan. Simpan juga maklumat kunci, kad akses, utiliti serta contact pengurusan bangunan. Rekod yang kemas memudahkan pemilik, kontraktor dan team yang akan mengambil alih berkomunikasi.

Kalau pembaikan masih berjalan, anda boleh mula berbincang tentang rancangan sewa pada masa yang sama. Tanggungjawab dan tempoh pembaikan perlu dirujuk pada dokumen serahan projek.

02

Pilih cara sewa sebelum beli perabot

Sewa jangka panjang biasanya perlukan ruang simpanan, perabot harian yang tahan dan mudah dijaga. Short stay pula perlu ruang bagasi, linen, proses pembersihan dan arahan masuk yang jelas. Untuk sewa ikut bilik, fikirkan privasi dan simpanan setiap bilik serta kegunaan ruang bersama. Semak pelan sebenar dan aturan bangunan dahulu.

Katil, meja atau peralatan yang dibeli terlalu awal mungkin tidak sesuai dengan susun atur dan cara sewa. Pelan lantai, gambar unit dan senarai kelengkapan sedia ada boleh membantu team berbincang sebelum senarai belian dimuktamadkan.

03

Asingkan belanja persediaan daripada kos bulanan

Renovasi, perabot dan peralatan biasanya belanja sebelum unit mula disewa. Caj platform, cleaning, dobi, utiliti, barang tetamu, pembaikan dan pengurusan pula mungkin berlaku semasa operasi. Kos yang terpakai bergantung pada unit, cara sewa dan skop kerja yang dipersetujui.

Dalam quotation, catat item dan kuantiti serta sama ada penghantaran dan pemasangan termasuk. Tetapkan lebih awal siapa boleh luluskan pembelian kecil atau pembaikan, dan bila team perlu hubungi anda.

04

Sahkan aturan bangunan dan kesesuaian unit

Semak aturan semasa tentang sewaan, pendaftaran tetamu, akses, parkir dan penggunaan ruang bersama dengan pihak pengurusan bangunan. Dapat kunci tidak bermaksud short stay sudah dibenarkan. Cara unit jiran beroperasi pun bukan pengesahan untuk unit anda.

Simpan jawapan atau notis yang diterima. Kalau proses masih belum jelas, dapatkan kepastian dahulu sebelum berbelanja untuk kegunaan tertentu atau mula menerbitkan listing.

05

Sediakan satu fail untuk handover

Kumpulkan pelan lantai, gambar defect, inventori perabot dan peralatan, maklumat waranti, bilangan kunci dan kad akses, contact bangunan serta status internet dan utiliti. Catat juga cara sewa yang dirancang, sasaran tarikh mula dan perkara yang perlukan kelulusan pemilik.

Jika anda berada di luar kawasan, kongsi zon masa dan waktu yang sesuai untuk dihubungi. Apabila maklumat ada di satu tempat, orang yang mengurus unit lebih mudah mencari jawapan tanpa bertanya perkara sama berulang kali.

06

Rancang listing dan permulaan ikut keadaan sebenar

Sebelum listing diterbitkan, pastikan fungsi bilik, kapasiti tidur, gambar, penerangan, tarikh tersedia dan persediaan cleaning sepadan. Untuk short stay, sediakan arahan masuk serta contact tetamu. Untuk sewa jangka panjang, tetapkan siapa urus viewing, saringan penyewa, perjanjian dan pembaikan.

Jangan buat keputusan berdasarkan satu angka kadar penghunian atau sewa sahaja. Permintaan, musim, persaingan, harga dan cara operasi mempengaruhi hasil. Bincang berdasarkan butiran unit sendiri dan semak andaian yang belum pasti.

Soalan yang selalu ditanya

Bila patut hubungi team pengurusan selepas dapat kunci?+

Boleh mula berbincang sebelum atau sejurus selepas serahan kunci. Kongsi projek, susun atur, tarikh serahan dan cara sewa yang dipertimbangkan. Pelan boleh diperincikan selepas keadaan unit dan aturan bangunan disahkan.

Boleh bincang cara sewa sebelum kunci diterima?+

Boleh bincang pilihan awal, arah perabot, bajet dan tempoh persediaan. Cadangan akhir masih bergantung pada keadaan unit sebenar, proses bangunan dan maklumat serahan yang disahkan.

Adakah unit baru mesti lebih menguntungkan sebagai short stay?+

Tidak semestinya. Bandingkan anggaran setahun selepas mengambil kira malam kosong dan kos operasi. Semak aturan bangunan serta masa yang anda sanggup luangkan. Keadaan setiap unit berbeza.

Apa maklumat untuk perbincangan pertama?+

Berikan nama projek, keluasan, bilangan bilik dan bilik air, jenis unit, keadaan perabot, tarikh jangkaan dapat kunci serta cara sewa yang sedang dipertimbangkan. Pelan lantai dan gambar boleh disertakan jika ada.

Bincang ikut unit anda

Bila maklumat jelas, senang kita bincang langkah seterusnya.

Kongsi projek, pelan dan keadaan unit dulu. Lepas itu kita boleh bincang cara sewa, persediaan dan skop pengurusan.

Minta team semak unit saya
Semak unit saya WhatsApp